Monday 1 August 2011

SEJARAH AZAN

Azan sudah berusia 1429 tahun dan disyariatkan di Madinah al- Munawarrah. Diriwayatkan bahawa azan diamalkan oleh orang-orang Islam pada tahun pertama hijrah. Ketika itu, orang-orang yang berhijrah ke Madinah berkumpul untuk menunaikan solat. Terbit persoalan pada waktu itu bagaimana caranya memberitahu umat Islam masuknya waktu solat dan menyeru secara langsung kepada mereka untuk bersama-sama menunaikan solat secara berjemaah.
Sudah pasti perlunya satu mekanisme yang praktikal dan mudah serta satu cara yang merangkumi perlambangan dakwah Islamiah yang menyeru kepada kebaikan dan kesejahteraan dunia dan akhirat. Pada saat itu, diriwayatkan Abdullah Bin Zaid dan Umar bin al-Khattab telah bermimpi mengenai lafaz azan. Rasulullah membenarkan mimpi mereka dan meminta Bilal bin Rabah melaungkannya.Azan merupakan satu lafaz khusus yang menyeru umat Islam menunaikan solat dan melakukan solat berjemaah. Mengerti dari aspek harfiahnya, azan membawa maksud ‘al-I’lam’ (pemberitahuan) atau ‘an-nida’ (seruan).

Al-Quran, as sunah dan al-ijmak menyatakan, laungan azan mempunyai banyak kelebihan dan pahala yang besar. Dihukumkan sebagai sunat muakkad dan fardhu kifayah bagi umat Islam.
Azan harus dilafazkan oleh seorang lelaki yang beragama Islam, berakal, dilafazkan dalam bahasa Arab dan dilaungkan ketika masuknya waktu solat. Azan juga harus diseru oleh muazzin (orang yang melaungkan azan) yang suci daripada hadas besar, hadas kecil dan najis. Dilaksanakan dengan mengadap kiblat dengan suara yang nyaring tetapi merdu.
Dilafazkan dengan jiwa yang benar, azan hadir bukan sahaja sebagai satu peraturan bagi umat Islam mengerjakan solat. Malah, azan juga dilaungkan ketika bayi dilahirkan, jenazah dikebumikan, ketika menghadapi bencana dan gangguan jin atau syaitan dan azan juga diselitkan ketika mengerjakan sesuatu yang baik. Pendek kata azan adalah perantaraan untuk memohon rahmat dan berkat serta kekuatan, kesyukuran dan sebagainya buat umat Islam.

Lafaz azan menyimpul kesatuan yang merangkumi aspek tauhid (akidah), ibadah dan akhlak muslim yang sejati. Hal ini terlihat jelas melalui seruan yang dilaungkan sebanyak lima kali sehari untuk mengajak umat Islam mendepani kehidupan dengan sempurna.

No comments:

Post a Comment